Friday, 12 February 2016

IBU 'BODOH'

Si IBU yang "BODOH..."


Hari itu, Cikgu Yong, guru mata pelajaran Kajian
Tempatan meminta murid-murid kelas 4 Tun Razakj
berkongsikan pekerjaan ibu bapa mereka dengan rakan-
rakan sekelas.
Tiba giliran Naqiyudin Bilboa, dia berasa sedikit
gementar untuk ke hadapan dan bercakap dengan
semua mata tertumpu kepadanya. Almaklumlah,
pertama kali diminta berbuat sedemikian.
Sebelum itu, sudah ada tujuh orang murid yang lain
yang telah pon berkongsikan pekerjaan ibu bapa
masing-masing. Ada yang si bapa bekerja sebagai
doktor. Ada yang si ibu bekerja sebagai pensyarah. Ada
yang jurutera. Ada yang saintis. Ada yang peguam.
Macam-macam lah! Semuanya pon hebat-hebat
belaka!
"Assalamualakum kawan-kawan. Err.. Err.. Hari ni, saya
nak kongsi dengan kawan-kawan... Pekerjaan ibu saya
je kot. Bapa saya dah takde. Dia meninggal masa saya
darjah 1 lagi."
Pendedahan Naqiyudin Bilboa itu disambut dengan
'Oooohh' dan 'Aaahhh' oleh rakan-rakannya yang lain,
terutamanya yang perempuan. Naqiyudin Bilboa menjadi
semakin tidak keruan. Dia cuba menenangkan dirinya
dengan menggentel-gentel jarinya.
"Tapi dulu... Tapi dulu ayah saya kerja sebagai cikgu,
macam Cikgu Yong jugak!"
Cikgu Yong tersenyum mendengar kata-kata Naqiyudin
Bilboa itu.
"Ibu saya... Uhm... Masa ayah ada dulu, dia jadi suri
rumah sepenuh masa. Sekarang ni... Dia ambil upah
menjahit. Kadang-kadang dia buat kuih..."
Kedengaran ada beberapa orang yang tertawa
mendengarkan perkongsian Naqiyudin Bilboa itu.
"Sharifudin Ali! Kenapa kamu gelak? Cuba hormat sikit
Naqiyudin Bilboa di hadapan tu!"
Cikgu Yong dengan tegas menegur anak-anak muridnya
yang tertawa sebentar tadi.
"Takde apa cikgu. Maaf cikgu."
Namun pada wajah Sharifudin Ali, terukir sekuntum
senyuman sinis yang menjengkelkan. Telinga Naqiyudin
Bilboa tiba-tiba menjadi panas. Kepalanya tidak
semena-mena berpeluh dan gatal. Dia mengetap giginya
menahan sabar.
"Cikgu, izinkan saya bertanya kepada Sharifudin Ali
kenapa dia tertawa sebentar tadi?"
Cikgu Yong mengangguk.
"Sharif, kenapa kau gelak tadi? Ada apa-apa masalah
ke, mak aku jahit baju dan jual kuih?"
Sharifudin Ali bangun dengan gaya yang penuh angkuh,
berpeluk tubuh dan dengan selambanya mengejek
Naqiyudin Bilboa.
"Bukan apa. Mak orang lain semua kerja terer terer.
Doktor. Pensyarah. Pembaca berita. Semua belajar
tinggi-tinggi. Mak aku pon, bukan nak kata ah, tapi
seorang usahawanita yang sukses. Sampai mak kau...
Heh."
Terbeliak mata Cikgu Yong mendengar kata-kata
Sharifudin Ali yang penuh selamba itu. Sharifudin Ali
baharu sahaja melanggar garisan sempadannya.
Naqiyudin Bilboa menggenggam tangannya, penuh
kemarahan dan ketidakpercayaan. Baharu sahaja Cikgu
Yong mahu mengatakan sesuatu, Naqiyudin Bilboa
sudah menyerang balas dahulu.
"Oh ye..? Mari sini, aku nak beritahu kau sesuatu.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap pagi dia akan
kejutkan aku untuk solat Subuh dan kemudian bersiap-
siap untuk pergi sekolah.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari baju
sekolah aku sudah tersedia bergosok.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap pagi dia akan
sediakan bekalan sarapan untuk aku.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari dia akan
teman aku pergi sekolah.
Ye, mak belajar tak tinggi, tapi sebelum berpisah
dengan aku, dia akan peluk aku dan hadiahkan aku
ciuman di pipi dan dahi.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari, lepas
loceng sekolah berbunyi, dia sudah tersedia menanti di
luar pagar.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi aku dapat jalan balik
dari sekolah dengan mak aku sambil makan aiskrim.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari, lepas
balik dari sekolah, makanan tengah hari sudah tersedia
di dapur.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari dia pasti
akan temankan aku buat buat kerja sekolah dan dia
akan pastikan aku siapkan kerja sekolah aku.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi aku ada 7 orang
adik-beradik dan semuanya dia boleh jaga dengan baik!
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi makan kami cukup,
pakaian kami cukup dan kami adik-beradik saling
membantu untuk cukupkan mana yang perlu. Kami
bahagia!
Kau ada...??"
Tergamam Cikgu Yong. Terkesima seluruh kelas.
Pucat muka Sharifudin Ali. Pipinya basah dengan air
mata.
***
Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup tidak tidur
malam hanya kerana mahu menidurkan anaknya.
Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berbelanja
besar untuk anak-anaknya, sedangkan untuk diri sendiri
dia bersederhana.
Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berpenat-lelah,
ke hulu dan ke hilir semata-mata menuruti kehendak si
anak.
Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berlapar
asalkan anaknya sendawa kekenyangan.
Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup ditertawakan
oleh sekeliling, berpakaian selekeh dan selebet asalkan
si anak cantik bergaya.
Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berpuasa
sebulan hanya kerana mahu membelikan kasut baru
buat si anak.
Seorang ibu itu 'bodoh' tidak dapat melelapkan
matanya hanya kerana risaukan si anak yang tidak reti
nak balik rumah, pulang lewat malam.
Seorang ibu itu 'bodoh' sanggup membiarkan diri jatuh
sakit hanya kerana memikirkan perangai si anak yang
dah macam jembalang gunung.
Seorang ibu itu 'bodoh' kerana seharian dengan
linangan air mata sentiasa mendoakan kebahagiaan dan
kejayaan anak-anaknya, meski si anak tidak pernah
memaknai erti doa seorang ibu.
Dan seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup 'mati'
hanya kerana mahu melihat anaknya terus 'hidup.'
Meskipon si ibu itu tampak 'bodoh' pada pandangan
mata manusia, 'bodoh' pada penilaian dunia, ketahuilah,
syurga itu tetap berada di bawah telapak kakinya!

No comments:

Post a Comment